RSS
Memaparkan catatan dengan label slanga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label slanga. Papar semua catatan

Slanga



#Situasi 34


Slanga ialah perkataan atau ungkapan yang tidak formal dan digunakan oleh kelompok sosial yang sama dalam masyarakat. Selain itu, slanga juga disebut sebagai bahsa kutu yang bermaksud penggunaan bahasa tidak rasmi  dan bermusim yang mana penggunanya terdiri daripada golongan remaja. Slanga ini hanya difahami oleh golongan atau kelompok tertentu sahaja dan mereka mencipta istilah ini secara tidak langsung. 

Antara slanga yang sering digunakan dalam kalangan remaja ialah:

1- Awek : Teman wanita
2- Pak we : Teman lelaki
3- Ciput : Sedikit
4- Kencing : Tipu
5- Cilok : Curi

Slanga yang digunakan dalam kalangan masyarakat Sabah pula ialah:

1- Siut
2- Belak
3- Borro
4- Baccat
5- Beggal




Rujukan: Saidatul Nornis Mahali (2007). Unsur Bahasa dalam Budaya. Kota Kinabalu: Penerbitan UMS.

Pon pon....


#Situasi 27


Hari ini saya berasa sangat lega kerana berjaya menyelesaikan tugasan yang saya rasakan amat berat iaitu pengajaran makro. Tamat kelas di Taman Bernam, saya dan rakan seperjuangan dalam persembahan pengajaran makro pulang ke rumah sewa dengan menaiki kereta rakan. Sampai sahaja di lampu isyarat di hadapan kampus, kami berhenti. Ada dua buah kenderaan lain di hadapan. 

          Apabila lampu isyarat bertukar hijau, kawan saya masih belum memandu kerana kereta di hadapan masih belum bergerak. Setelah kereta hadapan bergerak, kawan saya masih belum memulakan pemanduan. Dia hanya lambat beberapa saat selepas kereta di hadapan bergerak.

          Ketika itu, kami terdengar lori di belakang kami membunyikan hon. Dari situ, kami lihat  pemandu lori itu memang seorang yang tidak sabar. Kawan saya mula menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap pemandu lori yang tidak sabar tersebut. "Aku pantang betul la driver lori ni hon-hon. Lambat sikit je pun. Bukan lama sangat". Katanya. "Itu laa. Belum sampai seminit kita tak gerak dah bising". Kataku. Ketika ini saya terfikir, perkataan 'pantang' ini boleh didapati dalam pelbagai situasi. 


          Di sini juga saya ingin menyelitkan satu situasi lain. Seorang lelaki bertanyakan kepada rakan lain yang kelihatan berjalan seorang diri. "Eh. Mana isteri kau?". "Isteri aku dalam pantang la. Baru je seminggu berpantang". Dalam ayat ini lain pula konteks penggunaan perkataan 'pantang' ini.


          Situasi yang ketiga ialah berhubung dengan perkataan 'pantang' juga. Situasi emak dengan anak yang baru berkhatan. "Mak, adik nak makan ayam". "Adik tak boleh makan ayam. Adik kena pantang makan ayam. Kalau tak nanti lambat kering luka tu".



Pendapat: 

Pada pandangan saya, perkataan 'pantang' mempunyai banyak maksud. Maksudnya juga berbeza berdasarkan penggunaannya dalam ayat. 


1- Berdasarkan situasi pertama, 'pantang' ini dikenalpasti maksudnya sebagai tidak menyukai sesuatu perkara. Perkataan yang sepatutnya digunakan ialah 'kepantangan'. 


2- Berdasarkan situasi kedua, 'pantang' ini pula dikenalpasti maksudnya sebagai sesuatu yang dilarang melakukannya. Situasi kedua ini menunjukkan larangan yang tertentu yang perlu dipatuhi oleh ibu yang bersalin.


3- Situasi ketiga pula mendefinisikan 'pantang' sebagai makanan atau minuman yang ditegah untuk sesuatu penyakit. Berdasarkan situasi tiga, ibunya melarang anak makan ayam untuk menyembuhkan penyakit atau luka berkhatan. Perkataan sebenar yang sesuai digunakan ialah 'pantangan'. 

            

          

Budak-budak zaman sekarang.


#Situasi 26

Rakan Facebook saya terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan ada juga yang masih bersekolah. Apabila lihat status mereka di Facebook, saya rasa sangat pelik dan tertanya-tanya bagaimana mereka menulis karangan di sekolah dan bagaimana mereka belajar bahasa Melayu.

          Ada antara status mereka yang sukar untuk saya fahami. Hal ini demikian kerana mereka mengeja perkataan yang mudah menjadi susah. Di sini saya sertakan dua contoh bahasa budak-budak zaman sekarang.


          Berdasarkan contoh di atas, semestinya pembaca dapat melihat pelbagai kesalahan ejaan yang dilakukan oleh penulis. Jika komen di atas ditulis dalam bahasa Melayu yang betul ialah, "Kau gerak dengan laki aku kan? Jaga dia elok-elok. Jangan bagi dia menyundal. Ok bye." Harap maaf kerana penggunaan perkataan 'menyundal' di atas.


          Contoh yang kedua ialah penggunaan perkataan 'bocan' dan 'dowh'. Sebenarnya, penulis ingin menulis 'bosan' tetapi ditukarkan ejaannya kepada 'bocan' manakala 'dowh' merupakan slanga yang sangat popular penggunaannya dalam kalangan remaja masa ini. 


Pendapat:

Masyarakat Malaysia terutamanya dalam kalangan remaja tidak seharusnya menggunakan bahasa dengan sewenang-wenangnya. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu mempunyai peraturan tertentu yang perlu dipatuhi. 

          Para remaja terutama mereka yang masih bersekolah tidak seharusnya menulis dengan cara di atas walaupun ketika berinteraksi melalui laman sosial. Hal ini demikian kerana sedikit sebanyak ia akan mempengaruhi penulisan mereka di sekolah. Perkara ini berlaku kerana kebiasaan mereka menulis sesuatu perkataan dengan menggunakan ejaan yang salah. Secara tidak langsung, ia boleh menyebabkan kegagalan di dalam peperiksaan dan merosakkan bahasa Melayu yang dibanggakan.



Patah Seribu.

#SITUASI 1




          Baharu selesai tonton telemovie Patah Seribu lakonan Sharnaaz Ahmad dan Shila Amzah. Tentang cerita ini? Macam biasa. Kisah kehidupan remaja, cinta, keluarga dan perbezaan darjat. Sememangnya banyak nilai yang saya peroleh melalui cerita ini. Dalam telemovie ini, banyak menggunakan bahasa Malaysia dan 'slanga'.

          Bahasa Malaysia ialah bahasa yang digunakan oleh masyarakat kita masa ini tetapi tidak mengikut rumus tatabahasa yang betul ketika bertutur. Mereka hanya melontarkan apa sahaja ayat yang terlintas di fikiran mereka yang bersesuaian dengan keadaan dan topik perbualan.

          Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, 'slanga' ialah kata-kata atau ungkapan yang tidak tergolong dalam bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu. 'Slanga' dalam telemovie ini dapat dilihat daripada dialog bermula pada 1.11 saat sehingga 1.20 saat. Penggunaan perkataan lu dan gua merupakan salah satu contoh 'slanga'.




Pendapat:

         Pada pendapat saya, telemovie berbahasa Melayu tidak seharusnya menggunakan 'slanga' yang mana boleh mempengaruhi anak muda setelah mendengarnya. Seharusnya, media elektronik seumpama ini dijadikan contoh kepada anak muda tentang cara menggunakan bahasa yang betul dan bahasa yang sesuai digunakan seharian.