RSS
Memaparkan catatan dengan label Kata Ganti Nama DIri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kata Ganti Nama DIri. Papar semua catatan

Panggilan dalam Keluarga


#Situasi 38






Ketika musim perayaan, pastinya kita akan bertemu dengan ramai sana-saudara sama ada yang selalu kita temui atau yang jarang kita temui. Ketika bertemu sana-saudara, kita hendaklah menjaga tingkah laku dan tutur kata. Hal ini demikian kerana, menjaga kesopanan diri merupakan salah satu perkara penting bagi masyarakat Melayu.

          Selain bertutur menggunakan perkataan yang bersopan serta perlakuan yang lemah lembut, ketika berhadapan dengan sanak-saudara, perkara lain yang harus dititik beratkan ialah panggilan dalam keluarga. Panggilan dalam keluarga ini merupakan salah satu elemen penting dalam kehidupan bekeluarga kerana ia melambangkan kesopanan kita.

          Panggilan dalam keluarga ini sangat unik dan ada perbezaan bagi setiap negeri. Panggilan dalam keluarga ini dapat dilihat berdasarkan contoh di bawah, iaitu:

1- Long - Digunakan untuk anak sulung.
     (Abang Long, Kaklong, Pak Long, Maklong)

2- Ngah - Digunakan untuk anak kedua.
     (Abang Ngah, Kakngah, Pak Ngah, Mak Ngah)

3- Lang - Digunakan untuk anak ketiga.
     (Abang Lang, Kaklang, Pak Lang, Mak Lang)

4- Anjang - Digunakan untuk anak keempat.
     (Bang Njang, Kak Njang)

5- Teh - Singkatan kepada perkataan Putih.
     -Gelaran untuk anak kelima di Pahang tetapi anak keenam di Perak.
    (Bang Teh, Kak Teh, Pak Teh, Mak Teh)

6- Tam - Singkatan kepada perkataan Hitam.
     - Gelaran untuk anak ketujuh di Perak tetapi kelapan di Negeri Sembilan.
     (Abang Tam, Kak Tam, Pak Tam, Mak Tam)

7- Cik - Digunakan untuk anak yang sebelum anak akhir.
    (Abang Cik, Kak Cik, Pak Cik, Mak Cik)

8- Su/Busu - Digunakan untuk anak bongsu.
    (Su, Pak Su, Mak Su)


         Dengan adanya panggilan dalam keluarga ini, sesebuah keluarga akan lebih akrab dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Penggunaan panggilan dalam keluarga ini juga mampu menimbulkan kesopanan ketika bertutur atau berinteraksi dalam keluarga.

          

'Den', 'Sey', 'Ayo' dan 'An'

#Situasi 6

Malam ini saya menghadiri Majlis Mesyuarat Agong Sekretariat Mahasiswa Anak Negeri Sembilan UPSI yang pertama. Mesyuara itu dihadiri oleh semua mahasiswa dan mahasiswi dari Negeri Sembilan termasuk penasihat persatuan kami iaitu Profesor Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin. 

          Semasa beliau diminta untuk menyampaikan ucapan, beliau ada mengatakan bahawa beliau teramat rindu untuk bercakap menggunakan dialek Negeri Sembilan. Seterusnya, beliau sudah memulakan bicara menggunakan dialek Negeri Sembilan. 

         Beliau menggunakan pelbagai perkataan yang jarang kami dengar walaupun kami yang hadir sememangnya berasal dari Negeri Sembilan. Ketika menyampaikan ucapan, beliau juga mengulas sedikit tentang kata ganti nama diri yang digunakan dalam dialek Negeri Sembilan.

         Sememangnya kita semua tahu, masyarakat Negeri Sembilan menggunakan kata ganti nama diri 'den', 'sey' dan 'ese' dalam perbualan mereka tidak kira sama ada mereka yang bertutur berjantina lelaki mahu pun perempuan. 

        Menurut Datuk Rosli, terdapat pelbagai kata ganti nama yang khusus untuk lelaki dan ada juga kata ganti nama yang khusus untuk perempuan. Tidak semua kata ganti nama boleh digunakan sewenang-wenangnya. Kata ganti diri yang betul dan sesuai dengan penggunaannya adalah seperti di bawah iaitu :

Den- Digunakan oleh lelaki yang sudah berkahwin
Sey - Digunakan oleh lelaki yang belum berkahwin
Ayo - Digunakan oleh perempuan yang sudah berkahwin
An - Digunakan oleh perempuan yang belum berkahwin

         Menurut Datuk Rosli lagi, penggunaan kata ganti nama diri yang tidak betul menunjukkan bahawa seseorang itu kurang beradab atau kurang sopan.  


Pendapat : 

Pada pendapat saya, penggunaan dialek ini tidak salah ketika berinteraksi. Tetapi ianya hendaklah digunakan bersesuaian dengan tempat dan dengan siapa lawan kita bercakap. Perkara ini penting untuk mengelakkan salah faham.

          Kepada masyarakat Negeri Sembilan, kita tidak boleh menggunakan perkataan mahu pun kata ganti nama diri dengan sewenang-wenangnya. Hal ini demikian kerana, jika perbualan kita didengar oleh orang yang betul-betul memahami penggunaan kata ganti nama tersebut, mungkin mereka akan menganggap kita sebagai perosak dialek dan tidak mustahil juga kita akan dianggap sebagai kurang sopan.

#Nampak eh lopeh ni an kono la guno kato ganti namo yang boto. Tak ondak la orang lain koba an ni kurang aja dek menggunokan kato ganti namo yang salah. Yang salah kito boto an, yang boto kito koka an. :)

Kata Ganti Nama 'saya' dan 'aku


#Situasi 4

          Hari ini terjumpa dengan Janet di dalam bas. Janet merupakan pelajar berbangsa Cina dan rakan satu jurusan dengan saya iaitu jurusan Pendidikan Bahasa Melayu. Kami sempat berbual sepanjang perjalanan bas ke kolej. Antara perkara yang dibualkan oleh kami ialah berkenaan markah kursus KOMSAS yang kami ambil semester lepas. 
          
          Kami kurang berpuas hati dengan markah kursus tersebut. Hal ini demikian kerana kami merasakan bahawa markah atau gred yang kami peroleh tidak setanding dengan usaha kami. Sepanjang perbualan tersebut, saya telah membahasakan diri sebagai ' saya' memandangkan saya tidak begitu rapat dengan Janet. 
        
          Sepanjang perbualan, apa yang saya dapat perhatikan ialah penggunaan kata ganti nama diri yang digunakan oleh Janet. Kerap kali semasa berbual, Janet menggunakan ganti nama diri 'saya'. Tetapi, sekali dua saya terdengar Janet membahasakan diri sebagai 'aku'. 

          Ketika itu baharu saya teringat pensyarah Morfologi saya pernah mengatakan bahawa penutur bahasa Melayu yang berbangsa Cina dan India mempunyai kata ganti nama yang terhad. Oleh hal yang demikian, apabila menuturkan bahasa Melayu, mereka mempunyai kekeliruan dalam penggunaan kata ganti nama. 


 Pendapat:

Disebabkan kekeliruan penggunaan kata ganti nama ketika berbahasa Melayu, penutur bukan berbangsa Melayu sering melakukan kesalahan penggunaan kata ganti nama diri ketika bertutur. Perkara ini juga boleh menyebabkan orang yang lawan bercakap terasa hati apabila penutur menggunakan kata ganti nama yang tidak sesuai dengan situasi, peringkat umur atau pangkat mereka.

          Oleh hal yang demikian, penutur berbangsa Cina dan India perlu memastikan kata ganti nama diri serta di mana dan bila ia sesuai digunakan. Hal ini penting untuk mengelakkan berlakunya perselisihan, pertengkaran mahu pun salah faham antara penutur dan pendengar.