RSS

Ungkapan Melayu


#Situasi 21


Ungkapan Melayu merupakan salah satu perkara yang membuatkan Bahasa Melayu dianggap sebagai satu bahasa yang unik dan tersendiri. Ungkapan Melayu terdiri daripada bidalan, pepatah, kata pujangga, hadis Melayu, perbilangan, gurindam, seloka, tamsil, peribahasa, simpulan bahasa, ibarat dan perumpamaan.

                Kesemua ungkapan Melayu mempunyai peranan yang tersendiri dalam bahasa dan ayat.  Definisi dan peranan ungkapa Melayu dapat dilihat melalui jadual di bawah iaitu:


Ungkapan
Definisi dan contoh
Bidalan
Kata-kata yang sering disebut dan mengandungi nasihat.

(Kamus Dewan Edisi Keempat 2007:181)

Contoh:
Jangan bawa resmi jagung, makin berisi semakin tegak.

(Apabila sudah kaya, jangan bersikap sombong)
Pepatah petitih
Peribahasa yang mengandungi nasihat, ajaran orang tua-tua serta mengenai kata-kata adat.

(Kamus Dewan Edisi Keempat 2007:1176)


Contoh:
Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.

(Ikatan persaudaraan yang sudah putus akhirnya akan terjalin juga)
Kata pujangga
Perkataan orang bijak yang mengandungi pengeritan yang tinggi.

(http://prpm.dbp.gov.my)

Contoh:
Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan
harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada
kekuasaan ilmu.
Hadis Melayu
‘Hadis Melayu’ adalah perkataan yang bukan bersandar atau disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.. Ia adalah ungkapan mengenai sesuatu perkara yang kebanyakannya diambil daripada kitab-kitab Jawi lama ataupun banyak merujuk kepada buku terjemahan dalam bahasa Melayu tanpa merujuk kepada naskhah asal bahasa Arabnya.



Contoh:
Larangan anak-anak kecil berada pada saf orang dewasa ketika solat dengan alasan kanak-kanak itu masih bernajis kerana belum berkhatan.
Perbilangan
Peribahasa yang melahirkan kata-kata yang sudah menjadi peraturan, undang-undang atau nasihat  yang dapat dijadikan pegangan.

(Kamus Dewan Edisi Keempat 2007:185)

Contoh:
Ditelan mati emak, diluah mati bapak.

(Serba salah untuk membuat keputusan)
Gurindam
Bentuk puisi yang terdiri daripada dua baris dan berisi dengan pelbagai pengajaran.

(Kamus Dewan Edisi Keempat 2007:492)

Contoh:
Siakap senohon gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri.

(Orang yang selalu berbohong akhirnya akan menjadi pencuri)
Seloka
Puisi yang mengandungi ajaran iaitu sindiran atau jenaka.

(Kamus Dewan Edisi Keempat 2007:1428)

Contoh:
Seloka Pak Kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk.
Tamsil
Persamaan sebagai umpama atau misalan.

(Kamus Dewan Edisi Keempat 2007:1590)

Contoh:
Sesiapa berusaha memanjat pokok rajin dan melelai dahannya sudah pasti ia ke pucuk kemuliaan dan mengecap buah kesenangan
Peribahasa
Ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu.

(Kamus Dewan Edisi Keempat 2007:1185)

Contoh:
Biar mati anak, jangan mati adat.
Simpulan Bahasa
Ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna yang berlainan daripada erti perkataan-perkataan yang membentuknya.

(Kamus Dewan Edisi Keempat 2007:1497)

Contoh:
Kaki ayam, berbadan dua.
Ibarat
Bahasa berbunga-bunga yang  mempunyai erti dua lapis serta dalam maksudnya.

(Kamus Dewan Edisi Keempat 2007:556)

Contoh:
Ibarat burung, mata lepas badan berkurung.

(Tidak bebas)
Perumpamaan
Peribahasa yang berupa perbandingan dengan sesuatu yang lain.

(Kamus Dewan Edisi Keempat 2007:1766)

Contoh:
Mencurahkan air ke daun keladi.

(Nasihat yang tidak didengar)



Kesemua ungkapan ini boleh dijadikan sebagai salah satu cara atau medium untuk menasihati seseorang tanpa membuatkan seseorang itu tersinggung dengan teguran kita.

1 orang memberi respon:

Unknown berkata...

Apa ungkapan yang bermaksud 'dalam mengadili sesuatu,kita mestilah bersikap adil'

Harap dapat jawapan dengan cepat. Terima Kasih :)

Catat Ulasan