Sudah berulang kali Encik Razali Ayob mengingatkan kami agar tidak menggunakan bahasa basahan yang terdiri daripada bahasa pasar dan bahasa harian di dalam kelas Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran. Seingat saya, beliau sudah mengingatkan perkara tersebut sejak semester lepas lagi. Kami sering sahaja ditegur kerana menggunakan bahasa basahan ketika melaksanakan pembentangan di hadapan kelas. Menurut beliau, kami sebagai bakal guru Bahasa Melayu di sekolah nanti tidak seharusnya menggunakan bahasa basahan ketika mengajar di sekolah.
Hari ini, kami menghadiri kelas Encik Razali Ayob buat kali kelima untuk semester ini. Hari ini kami akan menonton Pengajaran Mikro yang dilaksanakan oleh rakan-rakan. Selain itu, kami juga dikehendaki memberi komen tentang pengajaran yang dikendalikan oleh rakan-rakan. Kebanyakan kami menggunakan bahasa basahan untuk memberi komen terhadap pengajaran rakan-rakan.
Pada akhir kelas, Encik Razali sekali lagi menegur kesalahan yang sama telah kami lakukan sejak semester lepas. Beliau mengatakan bahawa boleh dikatakan majoriti ahli kelas kami menggunakan bahasa basahan untuk melontarkan kritikan. Antara ayat yang dikemukakan ialah seperti di bawah:
1- "Saya rasa kaedah pengajaran guru baik. Tapi pelajar tidak memberi tumpuan malah diorang berbual sesama sendiri".
2- "Dekat kampung kamu ada pantai tak?"
3- "Cikgu, kitorang tak berapa faham la".
Pendapat:
Pada pendapat saya, pendidik bahasa Melayu tidak seharusnya menggunakan bahasa basahan ketika mengajar. Bakal guru bahasa Melayu juga seharusnya menggunakan bahasa yang betul ketika mengajar supaya pelajar lebih menghormati dan memandang tinggi seseorang guru tersebut.
Hal ini tidak bermaksud guru bahasa Melayu tidak boleh menggunakan bahasa basahan. Sebaliknya mereka perlu menggunakan bahasa dengan betul dan sesuai dengan individu yang lawan bercakap dan tempat yang sesuai. Sebagai contoh, di pasar, guru bahasa Melayu tidak perlu menggunakan bahasa Melayu tinggi untuk berbual sebaliknya menggunakan bahasa basahan agar mudah difahami masyarakat sekeliling.
0 orang memberi respon:
Catat Ulasan