RSS

Pon pon....


#Situasi 27


Hari ini saya berasa sangat lega kerana berjaya menyelesaikan tugasan yang saya rasakan amat berat iaitu pengajaran makro. Tamat kelas di Taman Bernam, saya dan rakan seperjuangan dalam persembahan pengajaran makro pulang ke rumah sewa dengan menaiki kereta rakan. Sampai sahaja di lampu isyarat di hadapan kampus, kami berhenti. Ada dua buah kenderaan lain di hadapan. 

          Apabila lampu isyarat bertukar hijau, kawan saya masih belum memandu kerana kereta di hadapan masih belum bergerak. Setelah kereta hadapan bergerak, kawan saya masih belum memulakan pemanduan. Dia hanya lambat beberapa saat selepas kereta di hadapan bergerak.

          Ketika itu, kami terdengar lori di belakang kami membunyikan hon. Dari situ, kami lihat  pemandu lori itu memang seorang yang tidak sabar. Kawan saya mula menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap pemandu lori yang tidak sabar tersebut. "Aku pantang betul la driver lori ni hon-hon. Lambat sikit je pun. Bukan lama sangat". Katanya. "Itu laa. Belum sampai seminit kita tak gerak dah bising". Kataku. Ketika ini saya terfikir, perkataan 'pantang' ini boleh didapati dalam pelbagai situasi. 


          Di sini juga saya ingin menyelitkan satu situasi lain. Seorang lelaki bertanyakan kepada rakan lain yang kelihatan berjalan seorang diri. "Eh. Mana isteri kau?". "Isteri aku dalam pantang la. Baru je seminggu berpantang". Dalam ayat ini lain pula konteks penggunaan perkataan 'pantang' ini.


          Situasi yang ketiga ialah berhubung dengan perkataan 'pantang' juga. Situasi emak dengan anak yang baru berkhatan. "Mak, adik nak makan ayam". "Adik tak boleh makan ayam. Adik kena pantang makan ayam. Kalau tak nanti lambat kering luka tu".



Pendapat: 

Pada pandangan saya, perkataan 'pantang' mempunyai banyak maksud. Maksudnya juga berbeza berdasarkan penggunaannya dalam ayat. 


1- Berdasarkan situasi pertama, 'pantang' ini dikenalpasti maksudnya sebagai tidak menyukai sesuatu perkara. Perkataan yang sepatutnya digunakan ialah 'kepantangan'. 


2- Berdasarkan situasi kedua, 'pantang' ini pula dikenalpasti maksudnya sebagai sesuatu yang dilarang melakukannya. Situasi kedua ini menunjukkan larangan yang tertentu yang perlu dipatuhi oleh ibu yang bersalin.


3- Situasi ketiga pula mendefinisikan 'pantang' sebagai makanan atau minuman yang ditegah untuk sesuatu penyakit. Berdasarkan situasi tiga, ibunya melarang anak makan ayam untuk menyembuhkan penyakit atau luka berkhatan. Perkataan sebenar yang sesuai digunakan ialah 'pantangan'. 

            

          

0 orang memberi respon:

Catat Ulasan