RSS

Rojak

#Situasi 11

Sumber Gambar : http://areryouri.blogspot.com
Siapa suka rojak? Amboi. Terliur rasanya lihat rojak ini. Rasa nak makan pun ada. Ehem. Tahan selera sekejap. Sebenarnya, entri kali ini tidak ada kaitan langsung dengan rojak yang sedap ini. Apa yang hendak saya perkatakan ialah tentang bahasa rojak iaitu bahasa campuran yang semakin berleluasa penggunaannya pada masa ini. 

          Bahasa rojak ialah bahasa yang digunakan secara bercampu-campur. Apabila bertutur, seseorang menggunakan bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan kadang-kadang melibatkan percampuran dengan slanga. Perkara ini dinamakan juga sebagai percampuran kod. 

         Malam semalam saya menghadiri perbincangan kumpulan untuk tugasan drama Sosiolinguistik. Kami tidak melaksanakan tugasan tersebut secara formal sebaliknya perbincangan dilaksanakan secara santai. Apabila perbincangan secara santai dilaksanakan, memang kami semua akan menggunakan bahasa rojak.

         Penggunaan bahasa rojak ketika perbincangan dalam kalangan kami sangat maksimum.
Antara ayat yang dituturkan menggunakan bahasa rojak yang saya dapat kenal pasti semalam adalah seperti di bawah iaitu :

1- Eh. Apa kata kalau kita buat scene kat toilet. Ok tak?
2- Kita buat-buat la macam ada lecturer tegur kita bising.
3- Nanti kita datang awal la nak? Boleh practise dulu sebelu kita berlakon betul-betul.
4- Kat library tu kita terus masuk ke nak buat jugak scene yang kat meja guard tu?

Pendapat : 
Sebenarnya, penggunaan bahasa rojak pada masa ini merupakan perkara yang sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat. Kita menggunakan bahasa rojak mengikut situasi yang sedang dialami oleh kita. 

         Sebagai contoh situasi di atas, kami menggunakan bahasa rojak kerana perbincangan itu dilaksanakan dalam suasana tidak formal dan tanpa pensyarah. Jika perbincangan tersebut dihadiri oleh pensyarah, kemungkinan besar kami akan menggunakan bahasa standard iaitu bahasa Melayu baku. 

       Apa yang dapat kita fahami tentang bahasa rojak ialah bahasa rojak ini digunakan oleh seseorang mengikut situasi. Kita seharusnya mengurangkan penggunaan bahasa rojak dan memartabatkan bahasa Melayu kita sendiri supaya ia tidak diperlekehkan dan tidak musnah ditelan zaman. 


0 orang memberi respon:

Catat Ulasan